Setelah lama menyepi akibat pandemik dan kebuntuan idea, Fuadi kembali dengan novel terbaru tentang sebuah kisah seram yang diinspirasikan daripada kejadian sebenar.
Semuanya bermula dengan satu panggilan. Rozi menerima berita tentang kemalangan yang meragut nyawa kakaknya, Rosmi, dan abang iparnya, Hisham. Mereka meninggalkan seorang anak kecil bernama Dani. Walaupun hubungan mereka renggang sejak Rosmi berkahwin, Rozi tahu dia tiada pilihan selain hadir sekurang-kurangnya untuk melihat mereka buat kali terakhir.
Tapi sejak dia jejakkan kaki ke rumah mereka, ada sesuatu yang tidak kena. Dinding yang seakan bernafas. Dan gangguan-gangguan kecil yang lama-lama menjadi bayangan menyesakkan. Rozi yakin semuanya ada kaitan dengan latar belakang abang iparnya, anak kepada seorang dukun bernama Pak Pandak. Dia mula percaya bahawa ‘sesuatu’ sedang mencari waris. Dan Dani adalah sasarannya.
Namun, apa yang membuat Pengabdian lain daripada cerita seram biasa adalah cara ia diceritakan. Pak Pandak dan Sufian ialah unreliable narator. Apa yang Rozi alami...adakah benar-benar berlaku, atau cuma bayangan yang dicipta oleh rasa bersalah, trauma, atau sesuatu yang lebih gelap?
Ada bahagian dalam buku ini yang mungkin aku rasa klise pada awalnya kematian misteri, saka turun-temurun, rumah berhantu tapi, penulis membawanya ke tahap lain dengan bab demi bab, kita akan meragui sama ada ini cerita rekaan atau satu pengakuan.
Pengabdian bukan hanya tentang warisan ilmu hitam. Ia tentang dendam, keturunan, dan kebenaran yang ingin disembunyikan.