Showing posts with label #bookreview #petakabakteria #mohdkasimmahmud. Show all posts
Showing posts with label #bookreview #petakabakteria #mohdkasimmahmud. Show all posts

Petaka Bakteria by Mohd Kasim Mahmud


Babak suspen dimulakan dengan beberapa pesawat telah menggugurkan kotak-kotak kayu berisi pakaian dan patung mainan di sekitar kawasan kampung yang baru saja dilanda peperangan. Penduduk kampung yang kelaparan dan trauma berebut-rebut, menyangka itu hadiah daripada pemerintah. Namun, di situlah permulaan malapetaka yang tidak mereka duga. 

Novel ini menyingkap sisi kelam dunia sains dan teknologi melalui watak Profesor Gerago dan pembantunya, Dr. Yana. Berkhidmat di makmal senjata biologi, Dr. Yana mula dihantui rasa bersalah apabila bakteria ciptaannya, yang berbahaya setanding antraks, digugurkan ke perkampungan musuh. Kegelisahan moral dan keagamaannya berperang dengan hakikat bahawa projek itu adalah misi besar negara yang dipersetujui pemimpin tertinggi. 

Apa yang dia tidak tahu ialah, eksperimen demi eksperimen itu akhirnya melahirkan spesies tikus baru. Tikus-tikus tersebut membesar dengan saiz luar biasa selepas menjadikan tawanan perang sebagai makanan mereka.

Inilah antara babak yang ada dalam Petaka Bakteria karya Mohd Kasim Mahmud, pemenang Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-KUMPULAN UTUSAN.

Penulis berjaya menyuntik elemen sains, perang, dan konflik dalaman dengan adunan yang menegangkan. Petaka Bakteria membuatkan kita tertanya-tanya sejauh mana sains boleh dimanipulasi demi kuasa, dan batas moral seorang saintis.

Namun, ada satu kemusykilan bagi aku tentang kemunculan lelaki misteri sebanyak tiga kali, yang tidak memberi impak besar pada jalan cerita. Entah siapa agaknya dia.😅 Keseluruhannya, Petaka Bakteria ialah sebuah fiksyen sains tempatan yang mendebarkan, dengan premis berani dan latar peperangan yang sangat dekat dengan realiti dunia hari ini.