5 ⭐️
Begitulah.
Paduan jalan cerita yang begitu hidup, tragis, sarat dengan budaya, sejarah terhasilnya rokok di Jawa dan yang pasti melekat di hati aku sampai bila-bila.
Kisah cinta yang kemudiannya menjadi dendam menciptakan satu atmosphere yang meruntun jiwa.
Bermula sekitar era pendudukan Jepun ke tanah Jawa, klobot atau kretek menjadi perantara masyarakat. Bukan saja dikatakan boleh mengubati penyakit asma tapi juga menjadi bahan dalam sistem barter ketika itu di samping dapat memberi semangat kepada penggemarnya. Perusahaan klobot Idroes Moeria melalui liku-liku yang sangat panjang. Cita-citanya untuk memasarkan rokok daun itu ke luar daerah, cintanya kepada Roemaisa, saingannya Soedjagad yang tidak henti-henti mengasak serta konflik yang melingkupi di tengah krisis perubahan politik.
Memang aku kagum betul penulis dapat menceritakan secara terperinci bagaimana proses pembuatan kretek itu semasa detik datangnya Jepun, kemerdekaan Indonesia dan kemudiannya kebangkitan PKI. Aku rasa kemuncak cerita ini sewaktu anak Idroes, Dasiyah yang mesra dipanggil Jeng Yah turut sama mempertahankan warisan perusahaan keluarga dengan identiti dan rahsia perisa kreteknya sendiri, Kretek Gadis.
Penulis bijak menyelang-nyelikan scene cerita di zaman sekarang dan zaman sebelum ini membuatkan pembaca ralit untuk tahu kisah watak utama, Jeng Yah dan Soeraya seterusnya. Endingnya begitu mantap, rahsia yang tersimpan berpuluhan tahun terbongkar setelah sekian lama membuatkan ia momen yang menyentuh hati dan tak terlupakan. Perfect.