Berani saya katakan cerita penulis ini bukan untuk semua orang. Pasti ada pembaca yang sukar pergi jauh dengan cara penyampaiannya. Ini kali ketiga saya membaca tulisan penulis dan saya simpulkan inilah karektornya. Unik dan kelakar. Plot dan premisnya pula tidak semestinya bersih atau terlalu serius, tetapi tetap ada mesej yang ingin disampaikan di sebaliknya.
Seperti judulnya, Dunia Ini Sederhana Kecil, watak-watak dalam cerita kelihatan ramai pada awalnya, namun akhirnya mereka saling bertemu dan mewarnai kehidupan antara satu sama lain. Saya membahagikan cerita ini kepada tiga bahagian atau situasi utama.
1. Tentang Syamir seorang graduan yang bergelut mencari pekerjaan.
2. Tentang sekumpulan pelajar dengan kehidupan kuliah mereka.
3. Ini bahagian yang saya suka. Tentang Syarikat Merong Berhad, syarikat pembuatan senjata api terbesar di Malaysia, yang sedang berdepan kebocoran maklumat perisian kepada pesaing. Bagi mendapatkan kembali Formula D yang hilang, pihak syarikat mendapatkan khidmat seorang lelaki misteri yang dikenali sebagai B. Dia digelar legenda dalam dunia risikan.
Siapa sangka perjalanan hidup Syamir yang sederhana akhirnya membawanya menjadi kaunselor tidak bertauliah, malah tanpa diduga terlibat dalam misi yang lebih besar, iaitu membantu menyelamatkan negara.
Walaupun bermula dengan beberapa kisah yang berasingan, akhirnya semuanya bertemu dan menunjukkan betapa kecilnya dunia yang kita diami. Kadang-kadang orang yang hanya muncul sebagai watak sampingan dalam hidup kita sebenarnya boleh memberi kesan yang besar dalam perjalanan hidup kita.
P/S: Manuskrip ini sebenarnya pernah diterbitkan oleh PTS sebelum ini.