Selamat Pulang, Bayang by Husna Rosli


Dalili ialah seorang pelajar kolej yang baik, malah terlalu baik hingga dipulau oleh rakan sekampus selepas dia mempertahankan seorang pelajar lain daripada dibuli. Malangnya, pembuli tersebut datang daripada kelompok yang berkuasa dan berduit, membuatkan kebenaran mudah diselindungkan. Dari sinilah Dalili pula menjadi sasaran, dan perjalanan emosinya mula bergerak ke arah yang lebih gelap sebelum cerita beralih kepada babak fantasi.

Di alam Antara, Dalili bertemu Bayang, sosok yang membawanya memahami sisi lain kehidupan termasuk latar belakang para pembuli yang rupanya pernah menjadi mangsa buli dalam keluarga sendiri. Kemunculan entiti Anon yang kejam menambah dimensi tentang dendam dan pilihan moral, menjadikan konflik lebih simbolik daripada sekadar realiti.

Sejujurnya sukar untuk saya memberi ulasan tanpa bersikap terus terang. Saya sangat menghargai temanya kerana isu buli bukan perkara remeh. Ia ibarat barah sosial yang sering berpunca daripada persekitaran kita membesar dan cara seseorang bangkit daripadanya. Watak Dalili mungkin tampak naif dan rapuh pada awalnya, namun akhirnya dia mampu memulihkan keyakinan sendiri.

Walaupun pengakhiran untuk si pembuli terasa kurang memuaskan, saya menerima bahawa keputusan tersebut sepenuhnya milik penulis. Kalau dilihat dari review Goodreads mungkin pembaca terganggu dengan cara penceritaan yang show and tell tanpa mengasak pembaca untuk berfikir serta pembinaan watak yang agak dua dimensi. Namun apa yang saya suka ialah bagaimana Dalili boleh berdamai dengan Bayang dan menyedari Bayang akan selalu ada bersama dengannya. Saya rasa itu amat menggambarkan sifat Bayang secara harfiah.