Selepas kebangkitan Arab Spring iaitu gelombang protes dan kebangkitan rakyat yang melanda banyak negara Arab sekitar 2010–2012, impian rakyat Syria hancur di bawah pemerintahan diktator. Novel ini membawa kita menyusuri luka itu melalui mata Salama Kassab, seorang pelajar farmasi yang belum sempat bergelar graduan tetapi terpaksa memikul tugas seorang doktor di hospital yang kekurangan tenaga dan infra akibat pengeboman dan peluru sesat.
Selepas ayah dan abangnya ditangkap tentera, satu-satunya keluarga yang tinggal hanyalah Layla, sahabat baik merangkap kakak iparnya. Layla berkali-kali mengajak Salama memulakan hidup baharu di negara lain, namun Salama berbelah bahagi antara cintanya kepada Syria dan tanggungjawab moral untuk terus membantu mangsa yang cedera. Part ni pembaca kena berhati-hati. Sedih weiiiðŸ˜.
Sejak setahun lalu, muncul Khawf. Jelmaan ketakutan yang lahir selepas letupan bom meragut nyawa ibunya. Hanya Salama yang dapat melihat Khawf. Watak ini sinis, kejam, dan sentiasa mendesak Salama meninggalkan Syria. Saya suka watak Khawf. Ia bukan sekadar peneman, tetapi nadi yang memaksa Salama terus bernafas di bumi bergolak ini. Tidak adil untuk membandingkan kehidupan fiksyen Salama dengan penderitaan saudara kita di Gaza namun tema utama novel ini iaitu PTSD, jelas bahawa trauma tidak pernah mampu digambarkan sepenuhnya melalui rakaman media sosial. Ia mengerikan. Jika saya berada di tempat Salama, saya rasa tidak mampu bertahan.
Nasib Salama mungkin satu dalam sejuta kerana kehadiran Kenan. Keluarga mereka pernah berjanji untuk bertemu dan merapatkan hubungan, namun kekacauan perang menggagalkan segalanya. Takdir mempertemukan mereka dengan cara yang berbeza, perlahan, penuh empati, dan saling memahami. Hubungan ini menjadi cahaya kecil di tengah gelap yang menyesakkan.
Kredit saya berikan kepada penterjemah dan penerbit yang berjaya menyampaikan intipati novel popular ini dengan berkesan.