Noir by Rizal Ramli


Saya suka dengan plot dan premis Noir. Walaupun nampak seperti kisah jenayah yang biasa, tema yang diketengahkan sebenarnya sangat dekat dengan realiti hidup iaitu trauma dan bagaimana seseorang boleh terperangkap dalam hubungan yang toksik tanpa tahu jalan keluar.

Setiap watak dalam novel ini saling berkait antara satu sama lain secara tidak langsung. Garapan wataknya pula dibuat dengan kemas, menjadikan jalan cerita mudah diikuti walaupun fast-pace. 

Mengisahkan Suriati, seorang wanita yang terpaksa hidup bersama Salman, suami yang bukan sahaja mendera fizikalnya, malah memusnahkan emosi dan mentalnya. Watak Salman memang sangat menjadi. Jenis antagonis yang cukup lengkap pakejnya. Manipulatif, panas baran, dan langsung tiada rasa belas kasihan. Setiap kali dia muncul, memang automatik rasa menyampah!

Kesabaran Suriati sampai ke titik terakhir apabila dia dipaksa untuk bersubahat dalam satu rompakan bersenjata. Dari sini, cerita mula menjadi semakin tegang. Rompakan itu akhirnya 'berjaya' dipatahkan oleh pihak berkuasa, tetapi banyak nyawa terkorban. Monolog Suriati sebagai mangsa dera, ditambah pula dengan rasa bersalah yang menghantui dirinya, membuatkan kisah ini terasa lebih berat dan menyentuh.

Dalam kekalutan itulah muncul Inspektor Khalis. Wataknya memang outstanding, tenang dan bijak sepanjang masa. Ada iras-iras Arash Mohd katanya. 😎 Kehadirannya bukan sekadar pegawai penyiasat, tetapi juga sebagai watak yang membawa sedikit harapan dalam cerita yang penuh dengan sisi gelap manusia.

Apa yang saya suka, penulis turut mengetengahkan tekanan yang dihadapi pihak polis. Politik pejabat, campur tangan pihak atasan, serta desakan media dan orang awam membuatkan tugas mereka terasa lebih realistik. Bukan sekadar kejar penjenayah dan mendapat pujian. 

Secara keseluruhannya, Noir ialah sebuah novel thriller yang berjaya menggabungkan aksi, emosi, dan isu masyarakat.