Cinta Hari-Hari Rusuhan by Faisal Tehrani


Novel yang diinspirasikan daripada kisah benar ini memang menyentuh hati. Antara buku yang saya paling nak baca selain Surat-Surat Perempuan Johor. Cerita ini juga layak diadaptasi menjadi filem sebab penuh dengan babak cemas, anekdot penting dan naik turun emosi watak utama. 

Kisah bermula pada awal tahun tujuh puluhan, ketika Basri dan Tengku Valizah sama-sama belajar di universiti. Mereka jatuh cinta walaupun datang dari latar yang berbeza. Dalam masa yang sama, Malaysia yang masih muda sedang berdepan dengan pelbagai krisis, dan semangat mahasiswa mula membara.

Kesatuan pelajar ketika itu lantang menyuarakan pandangan terhadap isu semasa. Demonstrasi tercetus, mengecam kuasa imperialis Amerika Syarikat dan pengaruh Zionis. Namun kemuncaknya ialah Rusuhan Baling. Peristiwa ini menjadi sejarah penting dalam gerakan perhimpunan besar-besaran rakyat dan mahasiswa, berikutan kejatuhan harga getah dan kenaikan kos sara hidup.

Basri dan rakan-rakannya turut bangkit menentang ahli politik yang dilihat lebih mementingkan diri. Cara kerajaan mengurus wang negara turut dipersoalkan, dan akhirnya yang paling terkesan ialah golongan miskin. Saya paling suka bahagian ini sebab penulis berjaya gambarkan mahasiswa sebagai suara yang berani, tapi dalam masa sama mudah dimanipulasi politikus yang hendak ambil kesempatan.

Bila keadaan makin tegang, ramai pemimpin pelajar diburu dan dipenjarakan. Basri memilih untuk jadi pelarian politik. Tapi yang paling sakit, Tengku Valizah 'memungkiri' janji mereka. Konflik dalaman di sini memang berat dan sangat memberi kesan.
Kalau nak cerita detail, memang boleh jadi cerpen dah. 😅 Tapi serius, ini bukan sekadar kisah cinta biasa. Ini cinta yang ada isi dan ada kritikan sosial yang masih relevan sampai sekarang. Siapa nak tulis novel cinta, patut jadikan ini sebagai rujukan.