Mokhtar 1969 by Amirul Idham


Terbaik. Itu kata terakhir saya selepas selesai membaca novel bestseller ini. Sebagai seorang penggemar genre psychological thriller, saya memang suka dengan plot dan premis novel ini yang selari dengan pace penceritaannya.

Kisah bermula pada tahun 1969 apabila Malaysia digemparkan dengan pembunuhan bersiri yang dikenali sebagai Pembunuh Simbol. Kesemua mangsa mempunyai MO yang sama. Mangsa terdiri daripada perempuan muda yang dipengsankan menggunakan kloroform sebelum dicekik hingga mati. Pelaku akan menoreh simbol di pergelangan tangan kiri mangsa.
Pegawai polis penyiasat, Inspektor Mokhtar merupakan seorang yang cukup komited dengan kerjayanya. Kes ini bersifat peribadi kerana teman wanitanya sendiri merupakan salah seorang mangsa Pembunuh Simbol.

Namun, pada suatu malam ketika dia yakin yang dia bakal berdepan dengan pembunuh itu, dia pula diserang hendap. Keadaannya parah dan apabila dia tersedar daripada pengsan, dia mendapati dirinya berada pada tahun 2025. Hah! 😂 Suspens, kan?

Yang lebih tidak masuk akal, dia ditemui berhampiran satu lagi mangsa pembunuhan bersiri, cuma kali ini pada tahun 2025. Bermatian Mokhtar cuba menerangkan kepada pegawai polis dan doktor yang merawatnya bahawa dia ialah Inspektor Mokhtar yang sedang menyiasat kes Pembunuh Simbol pada tahun 1969!

Saya dapat bayangkan agak sukar untuk mencipta suasana tahun 1969, tetapi itu bukan masalah utama di sini. Penulis bijak mengalihkan perhatian pembaca kepada misteri pembunuhan itu sendiri. Saya juga suka bagaimana elemen penyiasatan dan unsur fiksyen sains digabungkan tanpa membuatkan cerita terasa terlalu berat.

Walaupun ada beberapa perkara yang saya sengaja tak fikir panjang sebab nak menikmati perjalanan cerita, itu langsung tak mengganggu pengalaman membaca saya. Malah, saya rasa elemen itu yang menjadikan novel ini lebih menyeronokkan. Dan bila akhirnya identiti serta pengakuan si pembunuh didedahkan barulah saya boleh tidur malam dengan nyenyak! 😂