Merah by Iqbal Halim


Merah ni sarat dengan realiti dunia underworld. Lebih daripada separuh buku membawa kita menyelami operasi sindiket pemerdagangan manusia dan kegiatan kongsi gelap Geng 88 yang diketuai oleh Black Tony. Dia merupakan seorang penjenayah yang sangat berpengaruh di Kuala Lumpur.

Tony dibantu oleh Ray, seorang man of few words yang bekerja sebagai pembunuh upahan dan sentiasa mengikut arahannya tanpa banyak soal. Apabila ketua polis cuba mensabotaj Tony dengan mempergunakan orang dalam organisasinya demi mengukuhkan pengaruh sendiri, satu demi satu nyawa terpaksa ditidurkan. Antara yang menjadi mangsa ialah Jessica, bekas kekasih Ray. Dalam masa yang sama, Jessica pula mempunyai misinya sendiri iaitu membantu sahabat-sahabatnya membebaskan diri daripada cengkaman Tony.

Naskhah ini padat dengan tema kegagalan sistem, korupsi pihak berkuasa, pengkhianatan dan sisi gelap manusia. Tiada siapa yang bersih kerana setiap watak mempunyai sebab dan kepentingan tersendiri.

Penulis berjaya membina plot yang konsisten dengan atmosfera yang gelap dan dramatik tapi mengekalkan elemen suspen dari awal hingga akhir. Perkembangan setiap watak juga terasa sangat hidup tak meleret. Plotnya diselang-seli dengan backstory yang menjawab banyak persoalan.

Bahagian yang paling saya suka ialah apabila Ray pergi menuntut ilmu hutan, persilatan dan kebatinan dengan Pak Lang Mail. Dari suasana kota yang penuh jenayah, penulis membawa pembaca masuk ke dunia hutan yang menyimpan pelbagai misteri. Perubahan latar ini memberikan nafas baru kepada penceritaan dan pada masa yang sama mengembangkan lagi watak Ray. Saya juga suka bagaimana elemen mistik dimasukkan secara sederhana tanpa menenggelamkan identiti thriller jenayah.

Tiada ending yang benar-benar menggembirakan tapi cukuplah kita tahu yang Ray dah insaf. Dalam dunia yang penuh keganasan, pengkhianatan dan kuasa, tidak semua orang berpeluang mendapat pengakhiran yang mereka impikan.