The Memoirs of Sherlock Holmes by Sir Arthur Conan Doyle


Koleksi cerita pendek Sherlock Holmes ini antara comfort read saya. Rasanya tak perlu pun saya perkenalkan siapa Sherlock Holmes sebab hampir semua orang tahu secara kasar siapa dirinya. Seorang detektif yang menegakkan keadilan dengan cara yang tenang, perlahan tetapi sangat sistematik. Menariknya, apabila dia berada dalam keadaan tertekan, keupayaan berfikirnya semakin menyerlah.

Semua kisah ini diceritakan oleh penulis biografinya sendiri, Dr. Watson, seorang bekas pakar bedah tentera. Bersama-sama, mereka membantu ramai individu yang berdepan pelbagai misteri dan masalah melalui memoir yang menghimpunkan kes-kes unik yang pernah diselesaikan Holmes.

Antara perkara yang paling saya suka ialah setiap kali membaca, saya rasa seperti sedang berfikir bersama Holmes. Setiap hipotesis yang dikemukakannya terasa meyakinkan, bukannya sekadar red herring untuk mengelirukan pembaca. Saya juga perasan Holmes gemar menggunakan kesan tapak kasut sebagai salah satu petunjuk penting dalam siasatannya.

Cerita yang paling mengusik hati saya sudah tentu Masalah Terakhir. Kemunculan Profesor Moriarty, seorang genius Matematik yang juga ketua organisasi jenayah, benar-benar meletakkan nyawa Holmes dalam bahaya. Holmes semakin hampir mengumpulkan bukti yang mampu menjatuhkan musuhnya.

Pada asalnya, penulis bercadang menamatkan kisah Sherlock Holmes dengan membunuh watak ikonik dalam cerita ini yang diterbitkan sekitar tahun 1893. Apa yang lebih menarik, sumber di Google menyatakan kematian Holmes telah mencetuskan gelombang protes yang luar biasa pada zaman itu. Lebih 20,000 pelanggan The Strand Magazine membatalkan langganan mereka. Ramai peminat di London memakai lilitan hitam pada lengan sebagai tanda berkabung. Doyle juga menerima lambakan surat bantahan daripada para pembaca. Malah ibunya sendiri turut membantah keputusan itu. Bayangkan betapa besarnya pengaruh Sherlock Holmes sehingga reaksi peminat pada waktu itu terasa seperti kehilangan seorang adiwira!