Rumah Lebah by Ruwi Meita


WOW! 😱 5 ⭐
Saya jatuh cinta dengan tulisan Ruwi Meita melalui Garam. Selepas membaca Rumah Lebah, saya rasa buku ini berjaya memintas Garam dan menjadi karya kegemaran saya setakat ini.

Winaya dan Nawai memilih untuk meninggalkan kesibukan kota demi memulakan hidup baharu di sebuah desa bersama anak tunggal mereka, Mala. Winaya ialah seorang penulis yang sedang menikmati kejayaan novel debutnya, manakala Nawai pula bergelut dengan anxiety yang teruk.

Watak yang paling mencuri perhatian saya ialah Mala. Seorang kanak-kanak yang bijak, gemar membaca ensiklopedia, mengikuti homeschooling dan mempunyai imaginasi yang begitu luas. Melalui perspektif Mala, saya diperkenalkan kepada dunia yang pada mulanya kelihatan seperti imaginasi seorang kanak-kanak. Namun semakin lama saya membaca, semakin saya tertanya-tanya sama ada semua yang dilihat Mala benar-benar wujud atau sebaliknya.

Konflik bermula apabila novel Winaya dipilih untuk diadaptasi menjadi filem. Pada masa yang sama, berlaku satu pembunuhan di desa tersebut. Mangsanya seorang wartawan hiburan yang terkenal kerana obses mengejar cerita sensasi. Sejak itu, pelbagai kejadian aneh mula berlaku.

Saya sebenarnya berjaya menghidu beberapa petunjuk lebih awal dan boleh mengagak ke mana arah ceritanya. Tetapi penulis tidak tergesa-gesa mengejutkan pembaca dengan plot twist semata-mata. Perkembangan watak dalam novel ini juga memainkan peranan penting dalam menguatkan misteri yang dibina. Inilah perkara yang paling saya suka.

Lebih menarik lagi, novel ini bukan sekadar menawarkan misteri pembunuhan. Ia turut menyentuh tentang trauma, kesihatan mental, hubungan kekeluargaan dan kesan masa silam yang tidak pernah benar-benar hilang. Semua tema ini menjadikan ia antara bacaan psychological thriller terbaik saya tahun ini.