Cinta Berganti Nyawa by Hannaz


Ceritanya agak straightforward dan banyak dialog. Sebab itu saya boleh habiskan bacaan ini dengan agak cepat.

Novel ini mengisahkan Yasmin yang mengalami PTSD yang teruk sehingga dia sering diserang panic attack. Semuanya berpunca daripada satu insiden yang hampir meragut nyawanya 20 tahun lepas. Disebabkan trauma itu juga, dia hilang ingatan tentang apa yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian.

Walaupun begitu, dia ditakdirkan bertemu dengan seorang lelaki green flag, Nash Zulkarnain. Bermula sebagai penaja untuk projek program fakulti Yasmin di Harvard. Tidak berhenti di situ, pertemuan demi pertemuan yang tidak disangka dengan Nash ketika dia menjalani housemanship di tanah air pula terasa seperti memang tidak boleh dielakkan. 

Bagi Nash pula, dia seolah-olah tidak kisah dengan kekurangan Yasmin. Daripada sekadar bersimpati, dia mula percaya Yasmin perlu berusaha mengatasi trauma dan sifat paniknya itu demi profesionnya sendiri.

Namun, apabila Yasmin diserang oleh individu yang tidak dikenali, Nash tidak lagi mampu berdiam diri. Terus dia jadi pengawal peribadi tidak bergaji Yasmin. Dari situlah Nash akhirnya mengetahui rahsia trauma yang menghantui Yasmin selama ini dan melindungi wanita yang diam-diam sudah berjaya mencuri hatinya.

Saya suka tema trauma yang membawa kepada amnesia ini. Nash juga antara kekuatan novel ni. Cara dia melayan Yasmin tu membuat pembaca berbunga-bunga. Cuma, cara Yasmin pulih daripada traumanya terasa agak drastik. Melihat ayah sendiri mati di depan mata sepatutnya memberi kesan yang lebih mendalam. Konflik dengan penjahat juga kurang kuat kerana sukar untuk saya percaya dia masih mampu menjejaki Yasmin setelah sekian lama hanya kerana dendam keluarga. Walaupun novel ini melebihi 500 muka surat, bagi saya, 100 muka surat terakhir lebih dipenuhi dengan momen manis yang tidak begitu memberi impak kepada jalan cerita.

Walau apa pun, saya masih menikmati bacaan ini. Sebagai karya debut, saya rasa ia menunjukkan potensi yang baik daripada penulis.